Kewajaran Seni Dan Hiburan Islam (Bahagian 1)


Sudah menjadi fitrah manusia sukakan seni dan hiburan, sama ada muzik(nyanyian), tarian lakonan mahupun seni sastera seperti penulisan. Tetapi seni dan hiburan yang bagaimana? Dalam memilih dan menentukan apakah corak seni dan hiburan yang ingin dihasilkan atau yang ingin dinikmati, kita seharusnya peka dengan tuntutan Islam. Seharusnya seni dan hiburan itu selari dengan ajaran Islam, dan bukan bertentangan dengannya seperti filem, drama, tarian, nyanyian, tulisan, lukisan yang datang dari Barat. Nyata sekali unsur-unsur yang adaa padanya bertentangan dengan agama dan budaya ketimuran kita. Walaupun ada yang boleh diterima, namun sebilngan besarnya nyata bertentangan.

Sekiranya kita tidak bijak membuat pilihan, mungkin nasib yang sama akan menimpa industri seni dan hiburan negara ini. Dewasa ini telah ada beberapa filem, drama, nyanyian, tarian dan penulisan yang nyata menimbulkan tanda tanya di kepala kita. Perlukah industri kita berubah ke arah itu? Untuk apa? Bukankah Islam telah menggariskan panduan tentang bagaimana hendak menggunakan seni dan hiburan itu sebagai penyampai iktibar.

Negara sentiasa menitik beratkan usaha-usaha mengembangkan dan memajukan lagi muzik Islam yang berteraskan nilai keislaman. Agenda Islamisasi seni muzik tidak akan berjaya dengan sepenuhnya tanpa sebarang usaha secara intensif dalam kalangan penggiat-penggiat seni di negara ini. Mereka mempunyai kepakaran dan penguasaan ilmu yang tinggi dalam bidang muzik serta lebih memahami kehendak yang bersesuaian dengan Islam. Dunia sastera dan seni Islam masa kini seharusnya menjadi sebagai satu wasilah untuk mencari keredhaan Allah SWT sebelum ia dapat memberikan manfaat dan kesejahteraan dalam kalangan umat.

Islamisasi seni menurut ilmuwan Islam terkenal seperti Syed Muhammad Naquib al-Attas merujuk kepada seni Islam yang seharusnya memainkan peranan utama dalam membebaskan manusia dari tahyul, mitos dan animisme serta pembebasan akal dan bahasa kebangsaan serta budaya daripada pengaruh sekularisme. Pengaruh sekular yang semakin menular menyebabkan seni muzik yang dinikmati bukan bertujuan mencari ketenangan atau pengabdian kepada Allah tetapi untuk tujuan lain yang melalaikan. Misalnya, pengaruh serta percaturan dengan sebahagian daripada sastera dan seni barat boleh membawa kemudaratan khususnya yang boleh menjerumuskan golongan muda mudi Islam di negara ini kepada kekufuran dan kehinaan. Apa yang dibimbangi ialah sastera negara ini jelas memperlihatkan pemikiran-pemikiran yang begitu mendominasi sastera bercorak Barat yang lebih mementingkan keuntungan dan matlamat terselindung disebalik seni.

Lantaran itu, karya sastera seharusnya mengkhusus kepada perkara-perkara seperti karya seni yang berasaskan konsep ilmu yang benar dan selaras dengan kehendak Islam, seterusnya menolak sebarang seni yang berunsur nafsu, seks, picisan dan emosi manusia semata-mata. Dakwaan yang mengatakan karya sastera Melayu terdahulu terlalu bersifat Islam sentrik sehingga tidak dapat dinikmati oleh khalayak bukan Islam menunjukkan satu hujah sekular yang menafikan kesyumulan Islam, dan mengecilkan peranan Islam yang bersifat universal dan rahmat untuk semesta alam.

Al-Quran juga telah menunjukkan betapa penting seni Islam disampaikan selaras dengan lunas-lunas dan landasan agama. Melalui penyampaian ayat-ayat al-Quran yang berbentuk tersurat dan tersirat, segala matlamat bertujuan memberikan pengajaran yang baik, peringatan kepada yang lupa di samping yang paling utama, dakwah kerana Allah SWT yang memerintah alam ini. Aspek ini ditekankan dalam al-Quran sebagaimana misalnya dalam ayat 176 Surah al-A’raf yang bermaksud: ”Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. ”Bukankah Allah SWT membuktikan kepada umat manusia bahawa ia ialah Pencipta Yang Serba Keindahan. Malah salah satu nama yang tersenarai dalam al-Asma al-Husna ialah al-Badi yang mencipta sesuatu dengan penuh keindahan.”

Seni yang sesuai dengan naluri fitrah manusia dan diharuskan oleh syarak adalah yang mendukung kesucian fitrah. Ia seni yang mampu mencetuskan motivasi dan semangat serta hala tuju hidup masyarakat manusia. Ia turut menajamkan hati nurani dalam mempertingkatkan darjah kerohanian dan seterusnya menjadi pemangkin ke arah pembinaan modal insan yang unggul. Lantaran itu, seni tidak hanya terletak kepada rohnya yang mencerminkan kesucian fitrah kejadian dan kehidupan manusia di muka bumi ini.

*Coretan saya untuk kali ini berakhir di sini. Nantikan rencana kewajaran seni dan hiburan Islam (bahagian 2) dan seni suara manifestasi dendangan syaitan pada masa akan datang. Semoga coretan kali ini membawa manfaat kepada kita semua.

Read Users' Comments (1)comments

1 Response to "Kewajaran Seni Dan Hiburan Islam (Bahagian 1)"

  1. Anonymous, on December 12, 2008 at 12:05 AM said:

    salam ukhwah..
    manusia memerlukan hiburan, yg kadang-kadang bertujuan mengisi kesuraman jiwa.
    Rasulullah juga yg terkadang jiwanya suram dan hiburan baginda adalah al-Quran.
    Bagi yang memahami bahasa Arab, akan lebih terhibur dengan al-Quran.
    ana menunggu bahagian seterusnya..