Kewajaran Seni Dan Hiburan Islam (Bahagian 2)


Sememangnya terdapat beberapa genre muzik yang diharamkan oleh Islam. Namun apabila wujud pemikiran yang ekstrem dan tidak boleh menerima semua bentuk seni muzik moden, ia akan menyebabkan kegagalan pemulihan nilai-nilai murni terhadap seni muzik. Karya sastera pendekatan Barat, sebahagiannya adalah amat membosankan dan berbahaya kepada generasi muda khususnya kerana ia terlalu mementingkan cerita dan hiburan. Sastera yang kononnya berteraskan serta berpaksikan semangat nasional dan perpaduan, hakikatnya merupakan satu propaganda atau strategi bagi merosakkan ilmu, akal dan budaya umat Islam secara perlahan-lahan dan terancang.

Seni tidak seharusnya dijadikan alat atau alasan untuk manusia bebas menjalankan sebarang kegiatan berasaskan runtunan hawa nafsu dan kehendak duniawi semata-mata sehingga bertentangan dengan nilai etika dan adab kesusilaan Islam. Alasan kebebasan untuk meluahkan keindahan seni bukannya hujah kukuh untuk memberikan ruang kepada seseorang manusia untuk berbuat apa sahaja. Dr Muhammad Imarah, seorang tokoh pemikir Islam Mesir masa kini menegaskan bahawa seni sepatutnya membawa manfaat kepada manusia, mampu menyucikan dan memperhalus deria kejiwaan serta semangat roh Islam. Ia juga mampu memperkukuhkan rasa keindahan dalam kehidupan yang penuh dengan kenikmatan dan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah SWT. Itulah seni yang juga merupakan nikmat anugerah Allah SWT kepada umat manusia. Jika seni itu kekufuran, maka bencana atau kesan buruk akan berlaku yang boleh merosakkan umat Islam keseluruhannya.

Raghib al-Uthmani misalnya dalam buku Islam Din Dunya menjelaskan kisah-kisah yang ditonjolkan dalam al-Quran harus diberi perhatian dan diperhalusi sewajarnya. Ia bukan untuk hiburan semata-mata tetapi sebagai satu bentuk pengajaran dan dakawah kerana Allah SWT. Kisah daam Surah al-Baqarah tidak seharusnya berfungsi sebagai cerita masa lampau atau sejarah semata-mata tetapi seharusnya menjadi satu pengajaran atau contoh yang menunjukkan bahawa kesan dan akibat daripada mengingkari Allah serta balasan yang dijanjikan pada hari akhirat kelak.

Sarjana Islam, Lois Lamya al-Faruqi turut menyatakan bahawa kesenian Islam meliputi semua ciptaan yang dihasilkan menerusi kemahiran dan mempunyai nilai estetik. Syed Muhammad Qutb turut menegaskan bahawa seni Islam menjanjikan satu pertemuan antara keindahan dan kebenaran di bumi Allah ini yang bersifat sementara sahaja.

Dalam hal ini, nasyid dilihat telah berjaya mencetuskan fenomena dalam industri hiburan bercorak Islam di negara ini kerana orang Melayu amat memerlukan hiburan yang mempunyai pengisian agama da nilai kerohanian. Namun, pergerakan nasyid pada ketika ini agak statik kerana nasyid tidak banyak mengalami perubahan sedangkan ia telah bertapak sekian lama walaupun tidak dikomersialkan secara meluas. Pandangan supaya nasyid memerlukan perubahan menyeluruh dan tersusun terutamanya dari segi melodi dan gubahan adalah perlu. Khususnya dari segi bawaan lagu yang seharusnya dibawa oleh penyanyi yang memiliki bakat nyanyian unggul dan terserlah bagi menarik lebih ramai peminat dalam kalangan pelbagai generasi khasnya generasi muda di negara ini. Dengan itu, seni Islam dapat memenuhi fungsi penyampaian mesejnya secara telus dan berhikmah supaya dapat diterima oleh golongan sasaran dengan jelas dan memberikan impak yang lebih mendalam dan bermakna.

Penulis lirik berunsur dakwah perlulah memiliki pengetahuan lengkap dalam bidang agama atau sekurang-kurangnya telah mendalami ilmu agama melalui pembacaan, penganalisisan serta pentafsiran buku-buku agama khususnya daripada mereka yang pakar. Hal ini tentunya akan membawa lebih banyak penciptaan mahupun penggubahan lagu yang lebih baik dan berupaya memberi kesedaran dan manfaat demi kesejahteraan dan kebahagiaan umat di negara ini.

Muzik merupakan satu platform khusus bagi mengenali budaya secara lebih jelas kerana ia umpama titik pertengahan yang boleh menemukan semua orang dalam suatu situasi. Apabila wujudnya muzik, ia merupakan medan atau media yang paling penting dan sesuai bagi menyampaikan mesej berbanding dengan ceramah-ceramah agama yang kadangkala tidak menarik minat khusunya dalam kalangan generasi muda. Muzik sebenarnya mampu menjadi penggerak dalam menjayakan hasrat berdakwah dan mengajar ilmu agama melalui penyampaian mesej kepada mereka.

Selagi muzik dibawa dalam apa jua versi dan rentak yang tidak bertentangan dengan Islam dan syariat Islam serta dapat memenuhi kriteria sebagai lagu yang mendorong kebaikan, maka Islam membenarkan umat Islam menikmati muzik malah mereka turut dibenarkan untuk menceburkan diri secara serius dalam bidang muzik demi menjayakan hasrat Islam yang murni. Pendekatan dakwah melalui Islamisasi seni muzik terbahagi kepada dua sandaran utama. Melalui pengiktirafan budaya masyarakat, Islam menerima sebahagian daripada budaya kaum lain yang tidak bercanggah dengan Islam yang boleh dianggap sebagai proses Islamisasi.

Dakwah seni muzik merupakan medan dakwah paling relevan dari dulu sehingga kini. Dakwah menjadi lebih lancar dan segar-bugar dengan adanya unsur-unsur seni muzik yang menyedarkan dan berjaya menarik minat semua golongan. Konsert-konsert nasyid perlulah diperhebatkan di seluruh negara dan mungkin boleh dianjurkan pada sepanjang masa bagi memperkayakan hiburan bercorak alternatif agar seni muzik Islam tidak terhad kepada nasyid sahaja. Sastera Islam perlulah dipraktikkan dalam bentuk hubungan muzakarah kesusasteraan secara terperinci dan meluas supaya ia dapat melahirkan impian murni masyarakat Islam yang ingin melahirkan budaya Islam yang bertamadun.

Kesimpulannya, bagi melahirkan tamadun Islam yang unggul bagi tatapan dan ikutan generasi akan datang maka proses Islamisasi seni Islam perlulah dibuat secara bersungguh-sungguh, bersistematik dan terancang. Peranan pelbagai pihak khususnya daripada golongan penggiat seni, ilmuwan, ulama’ dan umat Islam amnya amatlah diperlukan dalam memberikan idea dan sumbangan minda. Moga seni Islam dari segi praktikalnya selari dengan syariah demi kesinambungan dan kemajuan seni tersebut khususnya dan agama Islam amnya pada masa akan datang.

Akhirnya siap juga artikel ini. Semoga artikel nie berguna untuk kita semua dan membuka minda kita untuk berfikir mengenai hiburan Islam. Hiburan yang macam mana boleh dengar dan mana yang tak boleh dengar. Nantikanlah sambungannya...

Read Users' Comments (0)

0 Response to "Kewajaran Seni Dan Hiburan Islam (Bahagian 2)"